Wednesday, July 18, 2012

Hutan Kecil Di Belakang Rumah

Hutan kecil di belakang rumah kami sedang di bulldoze :((



Di belakang rumah kami ada kawasan hutan yang memisahkan kawasan perumahan kami iaitu Taman Matang Jaya II dengan Taman Syn-Syn dan Jalanraya utama yang menghubungkan kawasan Matang Jaya dan pusat bandaraya Kuching.

Sejak mendiami kawasan ini, saya amat menyenangi kawasan belakang rumah kami yang ada hutan.  Hutan kecil ini didiami oleh beberapa jenis binatang liar seperti musang, tupai dan pelbagai jenis burung termasuk sekali-sekala ada kumpulan kera yang bergayutan di dahan-dahan pokok.

Saya amat menyenangi bunyi siulan burung pada waktu pagi dari hutan ini.  Sekali-sekala nampak kelibat burung-burung yang jarang-jarang dapat kita lihat.  Kawanan burung pipit sudah menjadi sebahagian dari kehidupan harian keluarga kami.  Setiap pagi, pembantu rumah saya akan menaburkan nasi atau roti di belakang rumah kami untuk burung-burung pipit berkenaan.  Pemandangan burung-burung pipit menjamah nasi yang ditabur dan selepas itu bertenggek buat seketika di atas pagar rumah, adalah satu permandangan yang mengasyikkan bagi saya.

Kini semua itu akan lenyap bersama lenyapnya hutan itu dari belakang rumah kami.

Cuma harapan saya...biarlah kawanan burung-burung pipit masih sudi bertandang untuk menumpang rezeki bersama kami.

Saya berdoa semoga Allah menggantikan tempat yang lebih baik untuk binatang-binatang penghuni hutan berkenaan di satu tempat yang lain.

Inilah harga pembangunan...hutan dan kediaman binatang terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada manusia.