Sejak beberapa hari kebelakangan ini, aku merasa kurang cergas. Mungkin kerana letih berpuasa atau kurang tidur atau mungkin ia juga amaran kepada diri bahawa tubuh ini sudah tua lantaran usia sudah menghampiri lewat 40an.
Apa yang aku perasan, sememangnya aku sudah tidak secergas dulu lagi. Badan cepat letih. Mungkin juga sebab aku banyak bergerak ke sana ke mari, menghantar anak-anak ke Sekolah, tengahari ambil seorang dan hantar balik rumah. Petang balik kerja, ambil seorang lagi, singgah Bazaar Ramadhan beli juadah. Malam pergi Masjid untuk bersembahyang Terawih, kalau tidak berupaya sembahyang terawih lantaran keletihan, aku gagahkan juga memandu ke Masjid untuk menghantar Pembantu Rumah dan anak lelaki kami ke Masjid. Itu belum lagi ditambah dengan kepenatan memerah otak membuat kerja di pejabat. Aku lakukan semuanya atas dasar kasih sayang pada keluarga. InsyaAllah, semoga aku juga memperolehi pahala kerana menjalankan tugas sebagai ibu dan mencari rezeki juga ibadah disisi Allah.
Apa-apa pun, aku redha dengan ketentuan Nya. Hidup memang begitu, kita perlu berkorban.
Dalam kesibukan tugas seharian, sedar tak sedar sudah 19 hari kita berpuasa hari ini. Begitu cepat masa berlalu.
Keletihan ini mengingatkan aku bahawa aku bukannya muda lagi. Semoga segala yang aku alami saban hari akan terus mengingatkan aku bahawa aku sudah tua.
Bila kita sedar kita telah tua, insyaAllah kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah. Bukan masanya lagi untuk berlalai-lalai.
Imam Syafi'i, ketika usia dia mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa, beliau berkata "aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah dipenghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah-lengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.
Semoga sedikit ingatan membolehkan kita mengenang diri kita yang tidak akan kembali muda.
No comments:
Post a Comment