Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010


Seperti tahun-tahun sebelum ini, aku lebih suka duduk di rumah sahaja pada malam tahun baru. Dari zaman muda hingga kini dah umur MIDI, beginilah aku pada hampir setiap malam tahun baru. Aku tidak suka crowd. Berada dalam crowd ditambah dengan bunyi bising boleh membuatkan aku pening.

Apa azam tahun baru aku? Itu rahsia. Azam tahun lepas belum tercapai, jadi aku bring forward sajalah azam tu. Apa-apa pun, azam semestinya sesuatu yang baik, positif, ikut lunas agama, undang-undang dan yang penting ia bukan duniawi semata-mata. Selagi hidup selagi itulah aku akan berazam, berusaha,berdoa dan bertawakkal kepada Yang Maha Esa. InsyaAllah.

Wednesday, December 30, 2009

Mak & Apak : Rejang-Sarikei-Rejang

Dedicated to Apak, Mak, Abam,Elok,Ani,Dewi and Mimi:

25 Disember 2009, aku dan anak bungsuku, Anis, pergi ke Sarikei. Kali ini tujuanku ke Sarikei ialah untuk menolong mak mengemas rumah di Sarikei sebab mulai 1 Januari 2010, rumah kami di sarikei akan disewa oleh tiga orang guru wanita dari Semenanjung yang mengajar di Sarikei.

Aku dan Anis ke Sarikei dengan menggunakan bas pukul 8:30 pagi dari Kuching dan sampai di Sarikei pada pukul 2:30 petang.
Rumah di Sarikei ini banyak nostalgia untuk kami sekeluarga. Adik-adikku Mirani, Jah Lelawati dan Dewi Rahmaz bernikah di rumah ini.

Mak dan Apak sudah menetap di Sarikei sejak 1981. Adik bungsu kami, Mimi Mazrah dilahirkan di Sarikei pada tahun 1982.

Mak dan Apak kedua-duanya berasal dari Kampung Rejang. Kami lima beradik (kecuali Mimi), dilahirkan di Kampung Rejang. Semasa kecil, sebelum tahun 1971, keluarga kami menetap di beberapa tempat di Sarawak kerana mengikut Apak berkerja dengan PWD atau JKR. Setiap kali mak hendak melahirkan kami, Apak akan menghantar Mak ke Kpg Rejang. Sebab itu, kami lima beradik, kecuali Mimi, dilahirkan di Kampung Rejang. Sesungguhnya kami berbangga sebagai anak kelahiran Kampung Rejang dan menerima pendidikan awal di SRK Abang Galau, Rejang.

Semasa kami menetap di Sibu, Abam dihantar bersekolah di Kpg Rejang (supaya senang Abam pergi Sekolah kata Apak kerana rumah kami biasanya jauh dari sekolah). Dalam tahun 1971, Apak berhenti kerja dengan PWD dan kami sekeluarga pindah ke Kpg Rejang. Tahun 1971 jugalah aku mula bersekolah Darjah 1 di SRK Abang Galau Rejang. Di kampung, Apak buka kedai runcit.

Tahun 1981, keluarga kami pindah ke Sarikei setelah Apak mula berkerja sendiri sebagai Kontraktor Kecil.

Di Sarikei, kami menetap di rumah sewa sehinggalah Apak membeli rumah di Jalan Jelutong Barat, Sarikei pada 1988.

Dulu Mak memang gembira di Sarikei, tetapi semenjak Mimi belajar di Universiti, Mak jadi sunyi. Kerap kali Mak meminta Apak membuat rumah di Kampung Rejang sebab Mak nak pindah balik ke Kampung Rejang. Tahun 2004, rumah Apak dan Mak di Kampung Rejang siap.



Anis posing depan rumah Apak dan Mak di Kampung Rejang.

Anis posing dalam dapur rumah Apak dan Mak di Kampung Rejang.

Semenjak 2004, rumah di Sarikei seperti terbiar. Apak dan Mak hanya sekali-sekala datang ke Sarikei. Kerana sayang melihat rumah itu terbiar, mulai tahun 2010, rumah itu akan disewakan.



Ikan Kalui Apak yang ditinggalkan di sarikei (dah wakil kepada orang yang menyewa untuk beri makan). Pokok buah Dragon Fruit yang Apak tanam tepi pagar dan Kucing PATI yang setia tinggal di belakang rumah (ku doakan semoga orang yang menyewa rumah ini akan tetap memberi makan kpd semua binatang2 ini).



(Antara barang-barang yg dibawa ke Kampung Rejang.)


(Menunggu lori untuk membawa barang-barang ke rumah setelah tiba di Terminal Tanjung manis).

Tuesday, December 22, 2009

Makanan Org Umur MIDI

Bila nak masak lauk untuk famili terpaksa mengutamakan selera anak-anak. Kalau ikutkan hati ku sendiri, semuanya nak ku masak secara rebus, kukus dan panggang sahaja. Bukan apa, ingatkan diri dan suami yang dah umur MIDI ni kenalah jaga kesihatan. Anak-anak ni hari2 nak makan ayam,eee...borink aku.

Teringat kata-kata mak aku semasa aku komen koleksi baju-baju kebaya mak masa muda yg macam badan kerengga (nota: mak masih simpan lebih 40 pasang kebaya dia masa muda) mak aku kata, orang sekarang ni makan ayam hari-hari sebab tu badan 'piung' (gemuk dlm bahasa Melanau). He..he..yang piung tu janganlah marah ya.

Bila difikirkan, ada betulnya juga kata2 mak aku tu. Orang dulu2, khasnya orang Melanau yang kebanyakannya adalah nelayan, badan mereka memang slim2 belaka. Agaknya sebab mereka makan ikan hari2 lah tu. Kena pula ikan yg segar2.

Dalam bab jaga kesihatan ni, aku pernah cuba rasa menjadi vegetarian selama 7 hari. Dalam 7 hari tu, aku langsung tak makan ikan, ayam atau daging. Rasa perut memang selesa, tetapi seksalah sebab tak enjoy makan. Anyway, at least aku dah ada rekod peribadi jadi vegetarian selama 7 hari. He..he...

Kalau cerita pasal makan ni, makanan kesukaan aku tentulah masakan orang Melanau yang simple seperti Umai, ikan isam sebuak dan kari kupas (kalau dimasukkan dlm menu list, mesti peningkan kepala). Ha..sebab itu, apabila kawan kami yang berasal dari Oya (also a Melanau) ajak pergi makan ke rumah dia semasa bulan Syawal yg lepas, aku tak menolak sebab dia memang champion buat umai (umai dlm gambar disini dialah yang buat).


Semasa berkunjung ke Kampung Tebun, Simunjan (perkampungan Iban Muslim) pada Hari Raya Aidul Adha yang lalu, aku diperkenalkan dengan satu lagi makanan yang simple tetapi sedap iaitu pulut yg dimasak dlm periuk kera. Ha..itu barulah organic and original. Kalau guna brown rice atau beras merah lagilah super food.

Disini ku letakkan gambar pulut dlm periuk kera, gambar pemandangan Kpg Tebun dan yang hensem bersongkok tu, hubby ku yang tersayang :)

Monday, December 21, 2009

Cuti Akhir Tahun 09

Hari ini aku mula cuti. 4 Januari 2010 barulah aku kembali berkerja. Seperti biasa apabila aku bercuti agak panjang, aku akan beri peluang pembantu rumahku balik kampung. Tahun ini sudah tiga kali pembantu rumahku yang setia itu balik Kampung. Aku cuti agak kerap tahun ini, bulan Jun yang lalu cuti beberapa hari sempena Majlis perkahwinan adikku Mimi dan yang terakhir ialah cuti Hari Raya yang lepas. Kali ini aku cuti tidak kemana-mana. Selain ekonomi peribadi yang tidak mengizinkan, suamiku yang sudah kehabisan cuti tahunannya tahun ini adalah juga antara faktor penyebab. Kesian suamiku Haji Hadi, sejak berkerja di Putrajaya, dia banyak menggunakan cuti tahunan untuk berulang-alik ke Kuching. Syukur Alhamdulillah, sejak 16 Disember yang lalu, suamiku tercinta sudah transfer balik ke Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Memandangkan kereta suamiku masih belum tiba dari Putrajaya, akulah yang menghantar dan mengambil dia berkerja.Hmmm...seronok juga jadi supir kepada suami ni.

Selain dari jadi supir suami, memasak dan lain-lain kerja rumah adalah tugas aku untuk dua minggu ni.

Since aku tidak kemana-mana cuti ni, hanya duduk di Kuching sahaja, jadi maknanya aku shopping di Kuching sajalah. Hujung tahun macam ni, top priority tentulah shopping barang anak-anak.

Puteriku Hanisah Raihanah(Anis), sejak dah besar sikit ni, dia dah tak suka barang Barbie lagi. So sekarang ni bye..bye..Barbie and Hello Lulu Belle and Mor Girl. He..he..dah besar anak aku. Hari Ahad lepas aku bawa Anis shopping barang-barang Sekolah dan lain-lain. Hmm..legging yang Anis minat belum sampai lagi di kedai Lulu Belle, terpaksalah aku tinggalkan nombor handphone kepada jurujual supaya SMS aku bila legging tu dah sampai nanti.

For myself, still not sure what to buy. Ah..itu tak penting, yang pentingnya this month I must double my visits to a place where I feel I can relax the most, where else if not my favourite local Spa.

Thursday, December 3, 2009

Hidup Umpama Cuaca



Ada orang mengatakan hidup umpama roda, aku lebih suka mengatakan hidup umpama cuaca. Seperti juga cuaca yang pelbagai, begitu juga hidup, banyak kepelbagaian suasana yang kita alami. Ada ketikanya dalam hidup ini kita rasa suka, sedih, marah dan geram. Seperti juga cuaca yang boleh sekejap panas, sekejap hujan atau sekejap mendung. Namun walau apapun emosi kita dalam kehidupan saban hari, hidup mesti diteruskan selagi kita bernafas.

Yang penting kita mesti tahu menghargai kehidupan itu sendiri. Menerima seadanya apa yang kita ada dalam hidup ini. Hargai setiap kasih-sayang dan perhatian ahli keluarga dan sahabat handai. Kongsi rasa kasih dan sayang kita kepada mereka dan orang yang memerlukan.

Namun sebagai manusia adakalanya kita tidak berupaya untuk melupakan saat di kala mana hidup kita umpama cuaca yang mendung. Minda umpama projektor filem, adakalanya ia ingin memutarkan kembali cerita-cerita duka yang kita sendiri ingin lupakan. Bagiku, apabila minda cuba memutarkan kembali cerita sedih, saat perasaan kita dilukakan tak mengapa, layan sekejap tetapi pastikan kita tidak dihanyutkan oleh kenangan berkenaan. Jadikan segala kedukaan lalu sebagai pengajaran dan jangan biarkan ia menjejas kebahagiaan kita pada masa ini. Live for the moment, accept the now.

Sedih kerana mendapat tahu ada rakan sepejabat yang back stabbing? Sedih sebab dapat boss tak adil? Just let go with it. Perjalanan hidup dan rezeki kita telah ditentukan Tuhan. Tidak perlu kita membazir sel-sel otak kita memikirkan tentang mereka.

Enjoy whatever you do then you will be happy always. Jangan lupa senyum selalu. Senyumanmu mungkin bisa menceriakan hidup orang lain. Siapa tahu?