Showing posts with label Pemerhatianku. Show all posts
Showing posts with label Pemerhatianku. Show all posts

Wednesday, February 29, 2012

BR1M

Dua minggu lepas berlangsung majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M kepada penduduk di kawasan Parlimen Satok.  Majlis berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching, bersebelahan bangunan pejabat tempat saya berkerja.  Gambar di atas itu saya ambil dgn  Blackberry saya dari jendela pejabat kami di tingkat 12.

BR1M adalah bantuan Kerajaan berjumlah RM500 kepada ketua isi rumah yang berpendapatan RM3000 ke bawah.  Ia pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia.

Difahamkan, penerima telah diberikan jadual untuk mengambil vaucher bantuan yang mana ia diagihkan selama 3 hari di Stadium tersebut.  Namun apa yang berlaku ialah majoriti datang pada hari pertama dan ia telah menyebabkan kesesakan yang teruk dari luar hingga ke dalam Stadium.

Cerita yang tidak enak didengar ialah ada yang hilang motorsikal semasa mengambil vaucher bantuan bernilai RM500 itu.  Bayangkan...dapat RM500, tapi rugi lebih RM3000.  Kasihan, memang kasihan.

Tuesday, February 28, 2012

Baju Kurung




Saya merupakan seorang peminat baju kurung tradisional. Rasanya 90% baju-baju dalam almari saya ialah baju kurung tradisional. Setiap hari ke Pejabat saya akan memakai baju kurung tradisional. Sekali-sekala saja saya pakai baju kurung moden. Bagi saya, baju kurung tradisional sangat ayu dan selesa dipakai.

Saya sangat suka melihat gambar-gambar Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetty yang sentiasa manis berbaju kurung tradisional.

Pada masa kini, rasanya semakin kurang yang meminati baju kurung tradisional. Kebanyakan wanita Melayu kini hanya memakai baju kurung untuk ke Pejabat dan Majlis-majlis Rasmi seperti Kenduri kahwin sahaja. Agak mendukacitakan juga pabila kebanyakan orang awam yang berurusan ke Pejabat-pejabat Kerajaan kini lebih suka mengenakan pakaian moden seperti berseluar panjang dan berblaus. Agak kekok juga pabila ada yang tidak kena gaya dengan fesyen moden mereka. Alangkah bagusnya jika yang dah berusia tu, pakailah baju kurung pabila berkunjung ke Pejabat Kerajaan. Nampak kemas, sopan dan yang penting...anda sentiasa nampak OK.

Tuesday, September 29, 2009

Cinta,Hati dan Perasaan


Kebelakangan ini banyak kisah rumahtangga yang ku dengar. Ada kisah suka, ada kisah duka. Kisah suka ialah pabila mendengar pasangan suami-isteri muda yang bercerai sebelum Ramadhan yang lalu, telah rujuk semula di Hari Raya. Kisah duka pula pabila ada isteri yang minta diceraikan di bulan Ramadhan yang mulia.


Perceraian meskipun dihalalkan, namun ku yakin tiada sesiapapun yang berkahwin untuk bercerai. Namun soal hati dan perasaan sememangnya amat subjektif. Sukar untuk diramalkan. Kalau hari ini suka, esok mungkin benci. Kalau hari ini rindu, esok mungkin jemu.


Bagi diriku, pabila mendengar berita saudara, kawan atau taulan yang hendak bercerai, terasa sedih dan pilu, namun tidak berani rasanya hendak memberi nasihat atau pandangan, lantaran soal hati dan perasaan orang lain, kita tidak akan mampu mengerti sepenuhnya. Lainlah kalau mereka menemuiku untuk mendapatkan nasihat dan pandangan, mungkin aku akan meminta mereka berfikir semasaknya atau menasihatkan supaya mereka mendirikan solat istiqarah, memohon petunjuk kepada Allah.


Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Kita hanya mampu berdoa semoga mereka mengambil keputusan yang tepat.


Bila berbicara soal hati dan perasaan, bagiku orang yang paling malang ialah orang yang masih terperangkap dengan cinta semalam yang tiada kesampaian. Usah dikenang lagi cinta pertama, kedua atau seterusnya yang tiada kesampaian. Nikmatilah cinta hari ini. Cinta hari ini, itulah cinta milik kita. Cinta dulu yang tiada kesampaian adalah kesilapan. Kenapa kita harus mengenang kesilapan lalu? Kalau ingin bahagia. nikmatilah apa yang kita ada hari ini. Cintailah pasangan kita seadanya.


Kepada suami-suami yang memiliki isteri yang sudah berumur, janganlah lihat pada wajah yang telah luntur, lihatlah pada jasa yang ditabur.


Kepada isteri yang masih cantik, jangan mudah tergoda atau terperasan pabila ada yang menggoda. Jika suami masih mencintai kita, kenapa harus cinta beralih arah?


"Cinta itu adalah untuk memahami satu sama lain, untuk rindu-merindu dan untuk isi-mengisi " - A. Samad Said