Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Monday, September 7, 2009

Hari Lahirku

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Hari ini 17 Ramadhan adalah Hari Nuzul Quran. Syukur kehadrat Allah, hari ini juga merupakan ulang tahun kelahiranku yang ke 47 menurut kalendar Hijrah. Aku dilahirkan pada 17 Ramadhan 1383 Hijrah, hari Jumaat. Semoga Allah memberikan kesudahan yang baik kepadaku, kedua ibu-bapaku, keluargaku, saudara-maraku dan zuriat keturunanku. Ameen.

Perjalananku sudah semakin jauh, bermakna aku sudah semakin dekat kepada destinasiku. Semoga Allah sentiasa memberikan aku taufiq dan hidayahnya. Ya Allah ampunkanlah hambamu yang berdosa ini. Ameen.

Sunday, August 23, 2009

1st and 2nd Day of Ramadhan 1430 H

Alhamdulillah, hari ini sudah dua hari kita berpuasa dalam bulan Ramadhan 1430 Hijrah. Syukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana mempertemukan kita lagi dengan Ramadhan.

Bagi diriku, ku mulakan Ramadhan tahun ini dengan solat sunat taubat sebelum bersahur bersama keluarga. Semoga Allah menerima taubatku di bulan yang mulia ini. Dengan umurku yang semakin senja ini, aku berazam untuk menjadi muslimah yang lebih baik dari sebelum ini. Semoga Allah memperkenankan doaku dan memberikan aku ketabahan dalam perjalananku ini. Sesungguhnya hidup ini hanyalah perjalanan, bukan destinasi.

Alhamdulillah, seperti tahun-tahun sebelum ini, Masjid Al-Muhajirin, satu-satunya masjid di Taman Matang Jaya, Kuching, meriah dengan jemaah bersolat Isyak dan Tarawih. Keadaan semasa solat subuh juga lebih meriah dari biasa. Tahun ini, imam solat sunat Tarawih di Masjid kami ialah Ustaz Azhar, seorang Al-hafiz muda berasal dari Kelantan. Tahun ini merupakan tahun ketiga beliau menjadi imam solat sunat Tarawih di Masjid Al-Muhajirin, Taman Matang Jaya, Kuching.

Pagi semalam, selepas menghantar Hanisah Raihanah ke kelas tuition, aku dan suami menjengok keadaan Ngah Waili di Hospital Umum Sarawak, Kuching. Kesihan Ngah Waili, keadaannya masih tidak banyak berubah, Ku panjatkan doa kepada Allah semoga Ngah Waili sembuh. Kepada sanak saudara, marilah kita sama-sama berdoa untuk Ngah Waili, semoga bulan Ramadhan Al-Mubarak ini bakal membawa sinar harapan buat dia dan kita semua. Ameen.

Monday, August 17, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan

Posting no. 7:

Beberapa hari yang lalu, puteriku Hanisah Raihanah memberitahuku dia tak sabar nak berpuasa. Aku terdiam seketika mendengar luahan puteriku itu. Itulah pertama kali aku mendengar seorang anak kecil berkata sedemikian. Sejuk hatiku mendengarnya. Berlainan sekali dengan diriku waktu kecil dulu, begitu gusar menunggu Ramadhan kerana tak suka berpuasa. Semoga Allah mengampuniku.


"Kenak Anis sik sabar nak puasa?" tanyaku. "Sukalah puasa", jawab Anis ringkas. Alhamdulillah, macam yalah anak mak, jawabku. Aku harap jawapan Anis itu ikhlas, tapi tak kisahlah kalau Anis ada maksud tersirat contohnya sebab nak beli baju baru, dia masih kecil, masih suci umpama bidadari.

Aku terfikir, kalau anak kecil boleh girang menyambut bulan Ramadhan (nota: atas sebab apa sekalipun), apa pula perasaan kita yang dah dewasa dan tua ini, yang rumah kata pergi kubur kata mari?Astarafirullahalazim. Sepatutnya kita yang dewasa ini lebih girang lagi menyambut Ramadhan kerana kita lebih arif tentang makna Ramadhan berbanding si anak keci.

Girang menyambut Ramadhan seharusnya kerana dalam bulan Ramadhan kita boleh dapat pahala umpama beribadat seribu bulan bukan kerana dapat untung beribu hasil jualan di bulan Ramadhan atau bukan kerana girang nak dapat duit bonus hari raya.

Memetik kata Pahrol Mohd. Juoi dalam buku "Nota Hati Seorang Lelaki"ada yang nampak puasa dari sudut ekonomi, kesihatan, sosial malah politik pun ada. Bagaimana puasa boleh menambah atau menyusutkan pendapatan. Bagaimana kesan puasa pada kesihatan. Bagaimana tradisi Ramadhan boleh dijadikan platform untuk meraih pengaruh....macam-macam lagi.

Semoga kita mendapat puasa betul-betul, bukan puasa gitu-gitu. Ameen.

Sekadar peringatan buat diri yang jahil.