Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010


Seperti tahun-tahun sebelum ini, aku lebih suka duduk di rumah sahaja pada malam tahun baru. Dari zaman muda hingga kini dah umur MIDI, beginilah aku pada hampir setiap malam tahun baru. Aku tidak suka crowd. Berada dalam crowd ditambah dengan bunyi bising boleh membuatkan aku pening.

Apa azam tahun baru aku? Itu rahsia. Azam tahun lepas belum tercapai, jadi aku bring forward sajalah azam tu. Apa-apa pun, azam semestinya sesuatu yang baik, positif, ikut lunas agama, undang-undang dan yang penting ia bukan duniawi semata-mata. Selagi hidup selagi itulah aku akan berazam, berusaha,berdoa dan bertawakkal kepada Yang Maha Esa. InsyaAllah.

Wednesday, December 30, 2009

Mak & Apak : Rejang-Sarikei-Rejang

Dedicated to Apak, Mak, Abam,Elok,Ani,Dewi and Mimi:

25 Disember 2009, aku dan anak bungsuku, Anis, pergi ke Sarikei. Kali ini tujuanku ke Sarikei ialah untuk menolong mak mengemas rumah di Sarikei sebab mulai 1 Januari 2010, rumah kami di sarikei akan disewa oleh tiga orang guru wanita dari Semenanjung yang mengajar di Sarikei.

Aku dan Anis ke Sarikei dengan menggunakan bas pukul 8:30 pagi dari Kuching dan sampai di Sarikei pada pukul 2:30 petang.
Rumah di Sarikei ini banyak nostalgia untuk kami sekeluarga. Adik-adikku Mirani, Jah Lelawati dan Dewi Rahmaz bernikah di rumah ini.

Mak dan Apak sudah menetap di Sarikei sejak 1981. Adik bungsu kami, Mimi Mazrah dilahirkan di Sarikei pada tahun 1982.

Mak dan Apak kedua-duanya berasal dari Kampung Rejang. Kami lima beradik (kecuali Mimi), dilahirkan di Kampung Rejang. Semasa kecil, sebelum tahun 1971, keluarga kami menetap di beberapa tempat di Sarawak kerana mengikut Apak berkerja dengan PWD atau JKR. Setiap kali mak hendak melahirkan kami, Apak akan menghantar Mak ke Kpg Rejang. Sebab itu, kami lima beradik, kecuali Mimi, dilahirkan di Kampung Rejang. Sesungguhnya kami berbangga sebagai anak kelahiran Kampung Rejang dan menerima pendidikan awal di SRK Abang Galau, Rejang.

Semasa kami menetap di Sibu, Abam dihantar bersekolah di Kpg Rejang (supaya senang Abam pergi Sekolah kata Apak kerana rumah kami biasanya jauh dari sekolah). Dalam tahun 1971, Apak berhenti kerja dengan PWD dan kami sekeluarga pindah ke Kpg Rejang. Tahun 1971 jugalah aku mula bersekolah Darjah 1 di SRK Abang Galau Rejang. Di kampung, Apak buka kedai runcit.

Tahun 1981, keluarga kami pindah ke Sarikei setelah Apak mula berkerja sendiri sebagai Kontraktor Kecil.

Di Sarikei, kami menetap di rumah sewa sehinggalah Apak membeli rumah di Jalan Jelutong Barat, Sarikei pada 1988.

Dulu Mak memang gembira di Sarikei, tetapi semenjak Mimi belajar di Universiti, Mak jadi sunyi. Kerap kali Mak meminta Apak membuat rumah di Kampung Rejang sebab Mak nak pindah balik ke Kampung Rejang. Tahun 2004, rumah Apak dan Mak di Kampung Rejang siap.



Anis posing depan rumah Apak dan Mak di Kampung Rejang.

Anis posing dalam dapur rumah Apak dan Mak di Kampung Rejang.

Semenjak 2004, rumah di Sarikei seperti terbiar. Apak dan Mak hanya sekali-sekala datang ke Sarikei. Kerana sayang melihat rumah itu terbiar, mulai tahun 2010, rumah itu akan disewakan.



Ikan Kalui Apak yang ditinggalkan di sarikei (dah wakil kepada orang yang menyewa untuk beri makan). Pokok buah Dragon Fruit yang Apak tanam tepi pagar dan Kucing PATI yang setia tinggal di belakang rumah (ku doakan semoga orang yang menyewa rumah ini akan tetap memberi makan kpd semua binatang2 ini).



(Antara barang-barang yg dibawa ke Kampung Rejang.)


(Menunggu lori untuk membawa barang-barang ke rumah setelah tiba di Terminal Tanjung manis).

Tuesday, December 22, 2009

Makanan Org Umur MIDI

Bila nak masak lauk untuk famili terpaksa mengutamakan selera anak-anak. Kalau ikutkan hati ku sendiri, semuanya nak ku masak secara rebus, kukus dan panggang sahaja. Bukan apa, ingatkan diri dan suami yang dah umur MIDI ni kenalah jaga kesihatan. Anak-anak ni hari2 nak makan ayam,eee...borink aku.

Teringat kata-kata mak aku semasa aku komen koleksi baju-baju kebaya mak masa muda yg macam badan kerengga (nota: mak masih simpan lebih 40 pasang kebaya dia masa muda) mak aku kata, orang sekarang ni makan ayam hari-hari sebab tu badan 'piung' (gemuk dlm bahasa Melanau). He..he..yang piung tu janganlah marah ya.

Bila difikirkan, ada betulnya juga kata2 mak aku tu. Orang dulu2, khasnya orang Melanau yang kebanyakannya adalah nelayan, badan mereka memang slim2 belaka. Agaknya sebab mereka makan ikan hari2 lah tu. Kena pula ikan yg segar2.

Dalam bab jaga kesihatan ni, aku pernah cuba rasa menjadi vegetarian selama 7 hari. Dalam 7 hari tu, aku langsung tak makan ikan, ayam atau daging. Rasa perut memang selesa, tetapi seksalah sebab tak enjoy makan. Anyway, at least aku dah ada rekod peribadi jadi vegetarian selama 7 hari. He..he...

Kalau cerita pasal makan ni, makanan kesukaan aku tentulah masakan orang Melanau yang simple seperti Umai, ikan isam sebuak dan kari kupas (kalau dimasukkan dlm menu list, mesti peningkan kepala). Ha..sebab itu, apabila kawan kami yang berasal dari Oya (also a Melanau) ajak pergi makan ke rumah dia semasa bulan Syawal yg lepas, aku tak menolak sebab dia memang champion buat umai (umai dlm gambar disini dialah yang buat).


Semasa berkunjung ke Kampung Tebun, Simunjan (perkampungan Iban Muslim) pada Hari Raya Aidul Adha yang lalu, aku diperkenalkan dengan satu lagi makanan yang simple tetapi sedap iaitu pulut yg dimasak dlm periuk kera. Ha..itu barulah organic and original. Kalau guna brown rice atau beras merah lagilah super food.

Disini ku letakkan gambar pulut dlm periuk kera, gambar pemandangan Kpg Tebun dan yang hensem bersongkok tu, hubby ku yang tersayang :)

Monday, December 21, 2009

Cuti Akhir Tahun 09

Hari ini aku mula cuti. 4 Januari 2010 barulah aku kembali berkerja. Seperti biasa apabila aku bercuti agak panjang, aku akan beri peluang pembantu rumahku balik kampung. Tahun ini sudah tiga kali pembantu rumahku yang setia itu balik Kampung. Aku cuti agak kerap tahun ini, bulan Jun yang lalu cuti beberapa hari sempena Majlis perkahwinan adikku Mimi dan yang terakhir ialah cuti Hari Raya yang lepas. Kali ini aku cuti tidak kemana-mana. Selain ekonomi peribadi yang tidak mengizinkan, suamiku yang sudah kehabisan cuti tahunannya tahun ini adalah juga antara faktor penyebab. Kesian suamiku Haji Hadi, sejak berkerja di Putrajaya, dia banyak menggunakan cuti tahunan untuk berulang-alik ke Kuching. Syukur Alhamdulillah, sejak 16 Disember yang lalu, suamiku tercinta sudah transfer balik ke Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Memandangkan kereta suamiku masih belum tiba dari Putrajaya, akulah yang menghantar dan mengambil dia berkerja.Hmmm...seronok juga jadi supir kepada suami ni.

Selain dari jadi supir suami, memasak dan lain-lain kerja rumah adalah tugas aku untuk dua minggu ni.

Since aku tidak kemana-mana cuti ni, hanya duduk di Kuching sahaja, jadi maknanya aku shopping di Kuching sajalah. Hujung tahun macam ni, top priority tentulah shopping barang anak-anak.

Puteriku Hanisah Raihanah(Anis), sejak dah besar sikit ni, dia dah tak suka barang Barbie lagi. So sekarang ni bye..bye..Barbie and Hello Lulu Belle and Mor Girl. He..he..dah besar anak aku. Hari Ahad lepas aku bawa Anis shopping barang-barang Sekolah dan lain-lain. Hmm..legging yang Anis minat belum sampai lagi di kedai Lulu Belle, terpaksalah aku tinggalkan nombor handphone kepada jurujual supaya SMS aku bila legging tu dah sampai nanti.

For myself, still not sure what to buy. Ah..itu tak penting, yang pentingnya this month I must double my visits to a place where I feel I can relax the most, where else if not my favourite local Spa.

Thursday, December 3, 2009

Hidup Umpama Cuaca



Ada orang mengatakan hidup umpama roda, aku lebih suka mengatakan hidup umpama cuaca. Seperti juga cuaca yang pelbagai, begitu juga hidup, banyak kepelbagaian suasana yang kita alami. Ada ketikanya dalam hidup ini kita rasa suka, sedih, marah dan geram. Seperti juga cuaca yang boleh sekejap panas, sekejap hujan atau sekejap mendung. Namun walau apapun emosi kita dalam kehidupan saban hari, hidup mesti diteruskan selagi kita bernafas.

Yang penting kita mesti tahu menghargai kehidupan itu sendiri. Menerima seadanya apa yang kita ada dalam hidup ini. Hargai setiap kasih-sayang dan perhatian ahli keluarga dan sahabat handai. Kongsi rasa kasih dan sayang kita kepada mereka dan orang yang memerlukan.

Namun sebagai manusia adakalanya kita tidak berupaya untuk melupakan saat di kala mana hidup kita umpama cuaca yang mendung. Minda umpama projektor filem, adakalanya ia ingin memutarkan kembali cerita-cerita duka yang kita sendiri ingin lupakan. Bagiku, apabila minda cuba memutarkan kembali cerita sedih, saat perasaan kita dilukakan tak mengapa, layan sekejap tetapi pastikan kita tidak dihanyutkan oleh kenangan berkenaan. Jadikan segala kedukaan lalu sebagai pengajaran dan jangan biarkan ia menjejas kebahagiaan kita pada masa ini. Live for the moment, accept the now.

Sedih kerana mendapat tahu ada rakan sepejabat yang back stabbing? Sedih sebab dapat boss tak adil? Just let go with it. Perjalanan hidup dan rezeki kita telah ditentukan Tuhan. Tidak perlu kita membazir sel-sel otak kita memikirkan tentang mereka.

Enjoy whatever you do then you will be happy always. Jangan lupa senyum selalu. Senyumanmu mungkin bisa menceriakan hidup orang lain. Siapa tahu?

Wednesday, September 30, 2009

What tree did you fall from?









Imej di atas aku dapat dari email yang diforward oleh seorang kawan. Menarik untuk dibaca. Macam betul je. Apa-apapun, kita tak bolehlah nak percaya 100%. Sekadar untuk hiburan, buang boring bolelah.


Tuesday, September 29, 2009

Cinta,Hati dan Perasaan


Kebelakangan ini banyak kisah rumahtangga yang ku dengar. Ada kisah suka, ada kisah duka. Kisah suka ialah pabila mendengar pasangan suami-isteri muda yang bercerai sebelum Ramadhan yang lalu, telah rujuk semula di Hari Raya. Kisah duka pula pabila ada isteri yang minta diceraikan di bulan Ramadhan yang mulia.


Perceraian meskipun dihalalkan, namun ku yakin tiada sesiapapun yang berkahwin untuk bercerai. Namun soal hati dan perasaan sememangnya amat subjektif. Sukar untuk diramalkan. Kalau hari ini suka, esok mungkin benci. Kalau hari ini rindu, esok mungkin jemu.


Bagi diriku, pabila mendengar berita saudara, kawan atau taulan yang hendak bercerai, terasa sedih dan pilu, namun tidak berani rasanya hendak memberi nasihat atau pandangan, lantaran soal hati dan perasaan orang lain, kita tidak akan mampu mengerti sepenuhnya. Lainlah kalau mereka menemuiku untuk mendapatkan nasihat dan pandangan, mungkin aku akan meminta mereka berfikir semasaknya atau menasihatkan supaya mereka mendirikan solat istiqarah, memohon petunjuk kepada Allah.


Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Kita hanya mampu berdoa semoga mereka mengambil keputusan yang tepat.


Bila berbicara soal hati dan perasaan, bagiku orang yang paling malang ialah orang yang masih terperangkap dengan cinta semalam yang tiada kesampaian. Usah dikenang lagi cinta pertama, kedua atau seterusnya yang tiada kesampaian. Nikmatilah cinta hari ini. Cinta hari ini, itulah cinta milik kita. Cinta dulu yang tiada kesampaian adalah kesilapan. Kenapa kita harus mengenang kesilapan lalu? Kalau ingin bahagia. nikmatilah apa yang kita ada hari ini. Cintailah pasangan kita seadanya.


Kepada suami-suami yang memiliki isteri yang sudah berumur, janganlah lihat pada wajah yang telah luntur, lihatlah pada jasa yang ditabur.


Kepada isteri yang masih cantik, jangan mudah tergoda atau terperasan pabila ada yang menggoda. Jika suami masih mencintai kita, kenapa harus cinta beralih arah?


"Cinta itu adalah untuk memahami satu sama lain, untuk rindu-merindu dan untuk isi-mengisi " - A. Samad Said

Thursday, September 24, 2009

Raya 2009
















Raya 1430 hijrah bersamaan 2009 tiada banyak bezanya dengan Hari Raya yang disambut sebelum ini. Tahun ini keluarga Mama Rosma beraya di Kampung Rejang, di rumah mak dan apak. Kami berada di sana sejak 28 Ramadhan dan balik semula ke Kuching pada hari Raya ketiga. Tahun ini hanya keluarga Mama Rosma, keluaraga adik yang ketiga, Jah Lelawati dan adik bungsu, Mimi Mazrah dan suami sahaja yang balik beraya di Kampung bersama mak dan apak.

Tak tahu kenapa, tahun ini kami semua yang balik raya di kampung seperti tiada mood nak ambil gambar. Mama Rosma hanya sempat ambil beberapa keping gambar sahaja. Gambar-gambar disini menunjukkan gambar hidangan di Aidil Fitri, gambar apak melayan tetamu di pagi Raya, gambar Mama Rosma dengan mak selepas selesai solat Sunat Aidil Fitri di masjid Kampung Rejang. Yang posing dengan basikal tua kepunyaan apak itu ialah suami Mama Rosma. Basikal tua itu merupakan kesayangan apak, walaupun ada kereta, apak lebih suka bergerak kemana-mana di Kampung dengan basikal tua tersebut. Yang bergambar dengan mak di masjid itu ialah adik ipar Mama Rosma yang berasal dari Perlis, Mohd. Hafizuddin Ishak, suami kepada adik bungsu kami, Mimi Mazrah.

Monday, September 14, 2009

Aku Bosan

Agaknya dia orang ni pun tengah kebosanan macam aku ni hah.. Ehh..sedapnya dia orang ni tidur..zzzzzzzzz


Ah..kenapa hari ini terasa bosan sangatlah di pejabat. Selepas signed beberapa dokumen dan semak checklist, aku semacam tak boleh nak berfikir lagi. Mode nak Raya agaknya, maklumlah rakan-rakan sepejabatpun sudah ramai yang mula bercuti hari ini. Aku buka email dan jumpa email dari rakan yang hantar gambar cute ini. Eeeee....cutenya. Teringat kata anakku Muhammad Haziq yang Ustaz di Sekolah dia kata haiwan adalah hiasan dunia. Mereka tak ada syurga atau neraka. Wallahualam. Sesungguhnya Allah Maha Kaya menciptakan hamba Nya yang pelbagai.

Di rumah, kami ada pelihara seekor kucing siam yang diberi nama Putih dan seekor kura-kura yang diberi nama Eddy. Kedua-duanya sudah berumur hampir 10 tahun.